Tuesday, August 12, 2008

I'm doing it in my blog instead.

Kuota Mengarut Ke Universiti

Sekian lama saya hidup di bumi Malaysia ini, saya dapati banyak masalah di dalam sektor pendidikan. Ini semua tercetus akibat sikap pilih bulu dalam mengangkat martabat rakyat jelata dari kurang berilmu kepada berilmu.

Bayangkan anda ada 5 orang anak. Kemudian anda peruntukkan kuota atau pun hanya 3 tempat untuk mendapat pendidikan yang baik. Apakah yang akan berlaku pada anak-anak yang selebihnya? (2 orang itu?)

Alahai 10%
Mutakhir ini, sibuk media masa kita memutarkan isu kuota 10% kemasukan bukan bumiputera yang dicadangkan oleh Tan Sri Khalid bin Ibrahim. Oleh kerana saya sendiri tidak berkesempatan untuk melihat beliau mengumumkan cadangan itu, saya tidak mahu mengulas lagi isu itu buat masa ini.

Saya dengar ada seramai 3000 mahasiswa UiTM berarak di jalanraya untuk menyerahkan memorandum bagi tujuan menyekat kaum lain untuk belajar di universiti tersebut.

Jika di luar negara, orang sibuk protes bagi membuka peluang masuk belajar dengan lebih banyak. Tetapi di Malaysia, kita protes untuk menutup peluang masuk belajar. Sudahlah yang disekat itu sewarganegara dengan kita. Selepas itu disokong oleh menteri pula.

Apakah sang pemerintah tak ada rasa malu dengan negara-negara luar, bersabit hal yang terjadi di Malaysia ini?

Rasa Cinta Negara (Patriotisme)
Bagaimana kita mahu lahirkan rasa patriotik ini pada kaum bukan Melayu (Cina dan India) ? Apakah dengan bersorak dan menyanyi lagu-lagu patriotik begitu?

Mahu belajar di dalam negara disekat dengan kuota, kemudian kena kumpul duit yang banyak pula untuk mengaji di overseas.

Setelah mahir, ada di antara mereka yang tidak ada rasa cintakan negara dan kemudian berhijrah langsung ke negara orang itu.

Rasa patriotik ini pun boleh hilang dalam jiwa orang Melayu. Kerana kita tahu, ramai yang terpinggir dalam menerima pendidikan yang berkualiti dan ramai yang tertipu dengan skim pinjaman serta beberapa kursus yang tidak berkualiti atau pun diiktiraf.

Ini isu besar. Jika ia masih berterusan, Malaysia akan kehilangan banyak tenaga mahir. Di mana ini akan mengundang kuasa asing untuk menjajah kembali tanah air kita.

Rakyat Tercicir
Umum tahu, keciciran rakyat kita dalam pendidikan adalah satu kerugian. Jika saya dilantik sebagai pemimpin, saya akan menghapuskan kuota yang ada. Kemudian saya buka pada semua pemegang MyKAD untuk masuk menerima ilmu di universiti atau pun menara gading.

Saya juga akan menyingkirkan para pensyarah yang tidak berkelayakan supaya para mahasiswa tidak menjadi bodoh seperti mereka. Para pensyarah yang tidak berkebolehan, boleh turun pangkat menjadi seorang pelajar semula sekiranya dia mahu menjadi pensyarah.

Gagal & Singkir
Harus diingat, di dalam sistem pendidikan kita hari ini, jelas sekali bahawa ada sistem gagal-dan-singkir.

Tidak kira samada pendidikan peringkat rendah, peringkat menengah mahu pun peringkat universiti. Apa bila gagal sahaja, tiada peluang lagi bagi mereka untuk menerima pendidikan yang berkualiti atau pun yang menepati dengan minat seseorang individu itu.

Jika saya menjadi seorang menteri pendidikan, saya akan angkat semula rakyat yang ingin menerima pendidikan di dalam mana-mana universiti pilihan mereka. Kita taja mereka sampai mereka faham dan kuasai sepenuhnya ilmu yang ingin ditimba. Tiada istilah gagal pada mereka. Mereka boleh ulangi modul atau pun jurusan atau pun fakulti sehingga mereka tamat tanpa melibatkan se'sen' wang daripada poket mereka.

Dengan kata lain, saya akan subsidikan pada rakyat seluruh perbelanjaan pendidikan seumur hidup sebanyak 100%.

Bayangkan, jika pendidikan, makanan dan kesihatan ditanggung 100% penuh, saya percaya kita akan menjadi sebuah negara yang hebat dalam segala bidang yang ada ditawarkan dalam universiti, negara kita akan mendapat rakyat yang sihat dan negara kita akan mendapat rakyat yang cintakan tanah air setelah nasib mereka terbela dengan hebat oleh keikhlasan kerajaan yang memerintah.

Bukan itu sahaja, mereka yang sudah berilmu penuh, wajib berkhidmat pada negara dan tidak sesekali boleh hijrah ke negara lain tanpa menurunkan ilmu yang mereka perolehi pada lagi sejumlah rakyat (mungkin 1000 atau pun 2000 orang rakyat sehingga mereka mahir dan mampu melaksanakannya).

Pendidikan Dikomersilkan
Di Malaysia sudah menjadi suatu trend masakini. Pendidikan didagangkan tanpa ada rasa segan-silu.

Sudahlah ada kuota 'pilih bulu' telah lama diamalkan, kemudian ada pula pihak yang akan menyekat pembelajaran para pelajar jika tidak lengkap membayar yuran atau pun gagal. Itu belum cerita kenaikan yuran dan sebagainya.

Rakyat Malaysia Diperbodohkan Sang Pemerintah
Soalannya, mengapa kita rakyat Malaysia (pemegang MyKAD) harus menerima nasib sebegini? Bukankah sang pemerintah kaya-raya? Hidup senang dengan gaji puluhan ribu. Kes rasuah tak pernah habis.

Percayalah, kita Melayu, India dan Cina yang sudah memegang MyKAD ini saling bimbang dan tidak berpuas hati sesama kita dalam penerimaan pendidikan. Ini semuanya berpunca daripada kuota yang ada (sikap pilih bulu).

Nah! Sekali lagi saya ulangi, kita hapuskan kuota yang ada! Kita bela semua 25 juta rakyat jelata sehingga berilmu (ditaja penuh kerajaan) tanpa istilah gagal-dan-singkir. Kita taja mereka dengan khazanah yang ada, kemudian kita gunakan mereka untuk mengukuhkan kekuatan negara kita dalam segala bidang yang ditawarkan di univerisiti dalam negara dan seterusnya luar negara.

Jika itu semua dapat dilakukan, saya percaya rakyat kita yang ada di tepi jalan boleh mengubah cara hidup mereka setelah berilmu dan mahir dalam bidang yang diceburi. Mereka juga, saya percaya mampu berbahasa dengan baik dan menghormati kerajaan, negara, dan agama.

Credits to hanief: http://hanief.blogspot.com/2008/08/kuota-m...universiti.html

1 comments:

Anonymous said...

good post! to hell with quota!